‘Peluang kami kini terbuka’ - Pelajar UEC Sabah zahir penghargaan bantuan biasiswa kerajaan negeri


KOTA KINABALU: Pelaksanaan biasiswa kepada pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) oleh Kerajaan Negeri Sabah disifatkan sebagai langkah terbaik dalam meringankan beban keluarga serta membuka lebih banyak peluang pendidikan kepada pelajar sekolah menengah persendirian Cina.

Bekas pelajar Sekolah Menengah(SM) Kian Kok, Philia Ku Ying Ni, 20, berkata pengiktirafan UEC memberi kemudahan kepada pelajar dan ibu bapa memandangkan kos pendidikan di sekolah bukan kerajaan perlu ditanggung sendiri.

“Sebelum ini, kami sebagai pelajar sekolah bukan kerajaan perlu membayar yuran dan pelbagai kos persekolahan.

“Dengan adanya biasiswa dan pengiktirafan UEC, ia sangat membantu dari segi kewangan serta mengurangkan tekanan ibu bapa,” katanya.

Philia Ku Ying Ni ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina, di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina yang bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.

Menurutnya, inisiatif itu memudahkan pelajar memberi tumpuan sepenuhnya terhadap akademik tanpa memikirkan kekangan kewangan.

“Saya berasa sangat gembira dan bangga kerana Kerajaan Negeri Sabah menerima dan mengiktiraf UEC. Ini membuka peluang kepada kami untuk mencapai keputusan yang lebih baik dan cemerlang,” jelasnya.

Kini, Philia sedang melanjutkan pengajian dalam bidang Kewartawanan Media Cina di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Kampus Sungai Long.

“Saya harap biasiswa ini dapat diteruskan kerana ramai pelajar cemerlang di sekolah bukan kerajaan juga memerlukan bantuan untuk melanjutkan pelajaran,” ujarnya.

Noah Liew turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas peluang yang diberikan. 

Sementara itu, seorang lagi penerima, Noah Liew Ee Ahn, 20, yang kini mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan Kewangan di TAR UMT Sabah, turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas peluang yang diberikan.

“Saya sangat bersyukur kerana pelajar UEC seperti saya diberi peluang melanjutkan pendidikan di institusi pengajian tinggi. Saya harap usaha ini diteruskan supaya lebih ramai pelajar dapat manfaatnya,” katanya.

Yan Teng (Tengah) bersama Ibu dan Bapanya ketika menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina, di sini.

Bagi Ng Yan Teng, 20, bekas pelajar Kian Kok Middle School yang kini mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) di AIMST University, Kedah, berkata biasiswa tersebut menjadi pemangkin untuk mencapai cita-citanya dalam bidang perubatan.

“Saya berasa sangat gembira apabila keputusan UEC membolehkan saya memasuki kursus yang saya impikan.

“Saya berharap lebih banyak peluang pekerjaan dan kemudahan dapat disediakan supaya graduan seperti kami boleh kembali berkhidmat di Sabah,” tambahnya.

Terdahulu, kerajaan negeri Sabah telah menyalurkan bantuan biasiswa bagi pengiktirafan sijil UEC kepada 37 pelajar daripada komuniti Tiong Hua.

Sijil UEC ialah kelayakan akademik yang diperoleh oleh pelajar-pelajar sekolah menengah Cina di Malaysia selepas menamatkan sekolah menengah peringkat persendirian untuk melanjutkan pelajaran ke pendidikan tinggi.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama