14 rumah terbakar di Kampung Melangkap Kapa, Kota Belud

 

KOTA BELUD: Sebanyak 14 rumah jenis separuh kekal musnah dalam kebakaran di Kampung Melangkap Kapa, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.57 pagi itu, 10 rumah dilaporkan terbakar sepenuhnya manakala empat lagi mengalami kerosakan kira-kira 10 peratus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 sebelum sepasukan tujuh anggota dari BBP Kota Belud bersama dua anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pangkalan Abai dikejarkan ke lokasi.

“Jentera pertama tiba di lokasi pada jam 11.48 pagi selepas menempuh jarak kira-kira 36 kilometer.

“Komander Operasi Suffian Aban melaporkan kebakaran membabitkan 14 rumah dengan anggaran keluasan keseluruhan 148 x 82 kaki,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Elge berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan serta bantuan pam angkut yang mendapatkan sumber air terbuka dari sungai berhampiran.

Menurutnya, jentera Fire Rescue Tender (FRT) tidak dapat memasuki lokasi kejadian berikutan laluan sempit dan keadaan jambatan yang tidak kukuh.

“Bagaimanapun, kebakaran berjaya dikawal pada jam 12.21 tengah hari sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.15 petang selepas kerja-kerja overhaul dilakukan bagi memastikan tiada punca api berulang.

“Tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian ini,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama