KOTA
KINABALU : Pelajar-pelajar cemerlang Sabah dipelawa memohon Program Biasiswa
Shell Malaysia 2026 yang akan dibuka bermula Mac ini.
Pengerusi
Shell Malaysia, Siti Hurrairah Sulaiman berkata ketika ini tujuh pelajar dari
Sabah sedang mengikuti pengajian di bawah tajaan Program Biasiswa Shell,
kebanyakannya melanjutkan pengajian di United Kingdom dan Amerika Syarikat.
''Program
biasiswa berkenaan merupakan inisiatif tahunan Shell Malaysia bagi melahirkan
bakat tempatan berpotensi tinggi dengan pengambilan baharu dibuat setiap tahun.
“Secara
keseluruhan, Shell Malaysia mengambil antara enam hingga 10 pelajar dari
seluruh negara setiap tahun. Bagi Sabah, kuota boleh ditingkatkan bergantung
kepada jumlah permohonan dan kualiti pelajar yang memohon.
"Jika
lebih ramai pelajar cemerlang tampil memohon, kami bersedia menambah kuota,”
katanya selepas kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di
Istana Seri Kinabalu, pada Khamis.
Menurut
Siti, kunjungan tersebut memaklumkan Tun Musa tentang perkembangan serta
komitmen berterusan Shell Malaysia terhadap pelaburan serta operasi di Sabah.
“Kami
telah beroperasi di Sabah selama lebih 40 tahun dan kekal komited untuk melabur
dalam jangka panjang,” ujarnya.
Hadir
sama, Pengurus Besar Sabah Shell Petroleum Company Limited, Alexon Jong;
Pengurus Besar Perhubungan Korporat Malaysia Timur, Jonathan Jolly dan
Penasihat Perhubungan Korporat Malaysia Timur, Liz Kumar.
