KOTA
KINABALU : Pameran khas memaparkan koleksi peribadi Yang di-Pertua Negeri, Tun
Musa Aman akan berlangsung selama tiga bulan di Muzium Tamadun Islam, mulai 30
Mac ini.
Pengarah
Jabatan Muzium Negeri, Arif Abdul Hamid berkata perkongsian itu bertujuan untuk
menunjukkan bagaimana institusi Yang di-Pertua Negeri menjadi simbol perpaduan
rakyat serta meningkatkan kefahaman bahawa institusi tersebut berperlembagaan.
"Ia
juga diharapkan menjadi wadah dan medium pendidikan kepada generasi muda
terutama kepada para pelajar dan orang awam untuk melihat sendiri bagaimana
peranan Yang di-Pertua Negeri dalam hal-hal sosial dan kemasyarakatan.
"Pameran
berkenaan berkemungkinan dilanjutkan sehingga hujung tahun sekiranya tiada
pameran lain dijadualkan di lokasi sama," katanya ketika ditemui media
selepas kunjungan hormat kepada Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada
Khamis.
Kunjungan
tersebut bertujuan memohon perkenan Tun Musa di samping mendapatkan kebenaran
menggunakan bahan-bahan berkaitan untuk dipamerkan kepada umum.
Menurut
Arif, pihaknya menyasarkan 50,000 pengunjung sepanjang tempoh pameran dengan
tumpuan khusus kepada generasi muda, pelajar dan orang awam bagi memberi
pendedahan secara langsung mengenai fungsi dan peranan institusi Yang di-Pertua
Negeri.
Beliau
menambah, selaras Terma Rujukan (TOR) Jabatan Muzium Negeri Sabah, orang awam
dikenakan bayaran RM2 manakala pelancong asing RM15 bagi pas masuk sah untuk
satu hari meliputi lawatan ke semua premis muzium di bawah Kompleks Muzium
Negeri Sabah dari jam 9 pagi hingga 5 petang.
