8 langkah interim atasi kesesakan Pelabuhan Sepanggar

KOTA KINABALU: Isu kesesakan berpanjangan di Pelabuhan Sepanggar yang menjejaskan rantaian logistik serta aktiviti perniagaan di Sabah kini memasuki fasa penyelesaian apabila Kerajaan Negeri meluluskan lapan langkah tindakan interim bagi meningkatkan kecekapan operasi pelabuhan itu.


Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pembangunan, Datuk Ewon Benedick berkata, isu pelabuhan bukan sekadar masalah teknikal, sebaliknya memberi kesan besar terhadap keyakinan pelabur dan pertumbuhan ekonomi negeri.


“Isu Pelabuhan Sepanggar ini menjadi keutamaan nombor satu saya sejak dilantik kerana ia menyentuh kepentingan ekonomi Sabah. 


"Perkara ini juga pernah saya nyatakan di Dewan Undangan Negeri dan kenyataan itu dicabar,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang serta Sanjungan Kasih Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pembangunan (MINDSET) di sebuah hotel di sini, semalam.


Menurutnya, pelan tindakan interim itu telah dibentangkan dan dipersetujui dalam Mesyuarat Kabinet Negeri hasil kerjasama antara Lembaga Pelabuhan Sabah (LBPS), Sabah Ports Sdn Bhd (SPSB), agensi kerajaan serta pemain industri berkaitan.


Katanya, lapan langkah itu merangkumi penambahan kemudahan kontena sementara, penguatkuasaan kadar tarif baharu, tindakan terhadap kontena melebihi tempoh simpanan, pengurangan tempoh simpanan percuma ketika musim puncak, penyediaan tapak parkir treler di Kawasan Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), pelaksanaan Sistem Tempahan Kenderaan (Vehicle Booking System), penyelarasan waktu operasi agensi kerajaan serta penambahan peralatan pelabuhan.


Ewon berkata, tindakan berkenaan diambil susulan kewujudan ratusan kontena kosong yang tersadai di pelabuhan, termasuk yang melebihi tempoh simpanan 300 hari, sekali gus menjejaskan kelancaran operasi.


Beliau turut memaklumkan akan mengumumkan secara rasmi langkah-langkah itu kepada rakyat Sabah menerusi kenyataan media pada malam ini.


Dalam pada itu, Ewon menegaskan kesediaannya untuk berdepan dengan mana-mana pihak yang terkesan demi memastikan kepentingan rakyat Sabah terus terpelihara.


“Saya sudah tetapkan tarikh untuk berjumpa dengan semua persatuan terbabit. Kalau mereka marah sekalipun, biar menteri yang berhadapan,” katanya.


Menurutnya, kecekapan pelabuhan adalah antara elemen penting dalam menjayakan agenda Sabah Maju Jaya 2.0 termasuk menarik pelaburan baharu serta memperkukuh rantaian bekalan negeri.


“Ini baru permulaan di Sepanggar. Selepas ini kita akan lihat pelabuhan lain seperti Sandakan dan Tawau,” katanya.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama