KOTA KINABALU: Sebanyak 15 hotel terkemuka akan menyediakan
reruai hidangan makanan sempena Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri
Sabah 2026 pada 17 Februari ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah,
Datuk Jafry Ariffin berkata sambutan peringkat negeri itu akan diadakan di
Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), bermula jam 10 pagi dan dijangka menarik kehadiran kira-kira
20,000 pengunjung.
"Sambutan ini mencerminkan kesepaduan dan keharmonian
masyarakat berbilang kaum di Sabah yang sentiasa bersama-sama meraikan
kepelbagaian perayaan tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang.
"Ini adalah prinsip yang menjadi asas kepada kerajaan
negeri bagi memastikan semua rakyat berbilang kaum, bangsa, agama dan budaya
dapat bersama-sama meraikan perayaan, termasuk Sambutan Tahun Baharu Cina,”
katanya ketika ditemui selepas kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri,
Tun Musa Aman, pada Khamis.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan
memaklumkan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman juga akan hadir
bersama-sama meraikan majlis tersebut.
Dalam pada itu, beliau menjemput orang ramai hadir menyertai
sambutan berkenaan yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Sabah.
“Saya mengharapkan orang ramai mengambil peluang untuk
bersama-sama meraikan Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Sabah 2026.
"Pelbagai acara kebudayaan akan dipersembahkan
sepanjang program seperti tarian singa, persembahan kebudayaan masyarakat
Tionghua dan penampilan artis jemputan," ujarnya,
Hadir sama, Setiausaha Tetap (SUT) Kementerian Pelancongan,
Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Josie Lai.
