KOTA
KINABALU: Orang ramai dijemput memeriahkan Karnival Tahun Baru Cina yang akan
diadakan di Lintasan Deasoka pada 9
hingga 11 Februari ini.
Presiden
Gabungan Persatuan Cina Sabah, Dr. Goh Tian Chuan berkata karnival selama tiga
hari itu akan bermula jam enam petang sehingga 10 malam.
"Tahun
ini, kita menggunakan pendekatan yang lebih inklusif dan mesra rakyat agar
mereka dapat merasai kemeriahan sambutan Tahun Baru Cina selain mengeratkan
hubungan sesama komuniti.
"Selain
menjadi platform berkongsi budaya, tradisi dan nilai murni kepada seluruh
rakyat, karnival ini dapat merancakkan aktiviti pelancongan dan ekonomi
setempat melalui penglibatan usahawan kecil, artis budaya dan masyarakat
tempatan.
"Penganjurannya
menjadi salah satu lambang menzahirkan semangat perpaduan, sikap saling
menghormati dan keharmonian yang sudah lama sebati dengan identiti negeri
Sabah," katanya ketika ditemu bual,
di konti Kupi-kupi FM pada Selasa.
Karnival
tersebut dijayakan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK),
Gabungan Persatuan Cina Sabah, pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan,
persatuan-persatuan Cina, penaja serta sukarelawan.
