Amang Seksual: Dua sahabat jalani hukuman tiga tahun di Sekolah Henry Gurney

TAWAU : Dua sahabat diperintahkan  menjalani hukuman selama tiga tahun di Sekolah Henry Gurney untuk selepas Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat mensabitkan mereka atas kesalahan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang budak perempuan berusia 12 tahun, dua tahun lalu.

Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan semua elemen pertuduhan melampaui keraguan munasabah sekali gus mensabitkan kedua-dua remaja lelaki berusia 14 dan 15 tahun itu di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Pada prosiding keputusan hari ini, mahkamah menegaskan bahawa perintah yang dikenakan hendaklah berteraskan pemulihan dan bukannya pembalasan setimpal semata-mata.

“Mahkamah memutuskan kedua-dua pesalah kanak-kanak ditempatkan di institusi pemulihan yang menyediakan intervensi berstruktur, kaunseling, penyeliaan serta pendidikan berterusan.

“Memandangkan mangsa dan kedua-dua pesalah tinggal di kampung yang sama maka pemisahan daripada komuniti setempat dan mangsa adalah perlu bagi memastikan tempoh bertenang, mengelakkan kemudaratan psikologi lanjut serta menjamin proses pemulihan berlangsung secara berkesan dalam persekitaran terkawal,” katanya.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Shearil Aizad Murnizam manakala kedua-dua tertuduh masing-masing diwakili peguam Jhasserry P Kang dan Chen Wen Jye.

Terdahulu, peguam Wen Jye dalam mitigasinya memohon kepada mahkamah supaya anak guamnya diberikan bon jaminan berkelakuan baik (BOGB) seperti yang disyorkan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain mengambil kira faktor tertuduh yang tinggal bersama keluarga dan pemantauan kedua Ibu bapanya.

"Pesalah muda ini telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis sepanjang siasatan dan sentiasa hadir ke prosiding mahkamah bersama bapanya.

"Mereka memahami kesan dan keseriusan kesalahan ini serta menyesali akan perbuatannya yang telah menjadi pengajaran paling berguna dalam diri masing-masing," katanya.

Mahkamah bagaimanapun memerintahkan kedua-dua remaja lelaki itu dihantar ke Sekolah Henry Gurney untuk menjalani hukuman berkenaan berkuatkuasa dari tarikh sabitan selaras dengan Seksyen 91(1)(f) Akta Kanak-Kanak 2001.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama