Nelayan hilang ditemui meninggal dunia selepas empat hari

PAPAR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang nelayan yang dilaporkan hilang ketika memukat di perairan Pantai Manis, Kampung Kuala di sini sejak 16 Februari lalu, ditamatkan semalam selepas mangsa ditemui meninggal dunia.

Mangsa, Saimin Ongit, 60, ditemui orang awam di kawasan berhampiran Pantai Kampung Sangkabok, kira-kira 71 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rozlan Osman berkata, operasi hari keempat yang bermula jam 8.20 pagi tertumpu di kawasan persisiran pantai Kampung Bundusan hingga ke Muara Pengalat sejauh empat kilometer. 

Katanya, pada jam 3.20 petang, keluarga mangsa memaklumkan kepada pasukan penyelamat bahawa mangsa sudah ditemui orang awam selepas dimuat naik dalam laman sosial TikTok. 

“Mayat mangsa kemudian dikenal pasti oleh ahli keluarga sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian, operasi SAR rasmi ditamatkan pada jam 3.23 petang," katanya dalam kenyataan media pada  Khamis. 

Pada Isnin lepas, pasukan bomba menerima panggilan kecemasan daripada Balai Polis Papar pada jam 10.44 pagi memaklumkan dua lelaki dikhuatiri hilang di laut selepas bot mereka karam ketika aktiviti memukat ikan di kawasan Pantai Manis. 

Seorang mangsa berjaya ditemui dalam keadaan selamat pada hari kejadian, manakala seorang lagi hilang, sebelum operasi SAR diaktifkan oleh pasukan bomba. 

Operasi berkenaan membabitkan 10 anggota BBP Papar dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama