18 mangsa banjir berjaya dipindahkan di Kemabong

TENOM: Seramai 18 mangsa daripada tiga keluarga berjaya diselamatkan dalam kejadian banjir di Kampung Sugiang Lama, Kemabong, malam tadi.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom,  Mudi Pengiran berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.51 malam yang terletak kira-kira 29 kilometer dari balai.

“Sebaik sepasukan anggota yang dikerahkan tiba di lokasi pada jam 12.01 tengah malam, didapati kebanyakan rumah dan jalan raya di kampung berkenaan telah dinaiki air.

“Pasukan bomba menjalankan operasi penyelamatan dan pemindahan mangsa seramai 18 orang ke PPS Dewan Ontoros Kemabong, Tenom,” katanya dalam satu kenyataan, pagi tadi. 

Katanya, kesemua mangsa berjaya dibawa keluar dari rumah masing-masing dalam keadaan selamat.

“Mangsa dikumpulkan di Surau Kampung Bagiang Lama dan sebahagian mangsa telah dihantar ke rumah keluarga terdekat,” jelasnya. 

Bagaimanapun, beliau memaklumkan usaha menghantar mangsa ke PPS tidak dapat diteruskan sepenuhnya berikutan laluan di Jalan Kampung Kalamatoi tidak boleh dilalui akibat banjir.

“Operasi ditamatkan pada jam 5.10 pagi dan pasukan bomba meneruskan operasi penyelamatan di kawasan seterusnya,” tambah beliau. 

Daripada keseluruhan mangsa, tujuh adalah lelaki dewasa, lima perempuan dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama