Resort di Semporna sedia menu eksotik diserbu, tiga individu dicekup

SEMPORNA: Sebuah resort di daerah ini yang dipercayai menyediakan hidangan eksotik berasaskan hidupan liar dilindungi diserbu menerusi Operasi Bersepadu Khazanah, semalam.

Serbuan dijalankan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah dengan kerjasama Cawangan Risik/Task Force Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak hasil risikan yang dijalankan sejak beberapa minggu lalu.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Mohd Soffian Abu Bakar, berkata dalam operasi itu pasukan serbuan menemui seekor tenggiling hidup yang dikategorikan sebagai hidupan liar dilindungi sepenuhnya.

Katanya, turut dirampas beberapa hidangan yang dipercayai membabitkan spesies dilindungi untuk siasatan lanjut dan tiga individu ditahan bagi membantu siasatan.

Mohd Soffian berkata, tenggiling disenaraikan di bawah Jadual I Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997 dan tidak boleh dimiliki atau dijadikan hidangan dalam apa jua keadaan.

“Tiada sebarang lesen atau permit dikeluarkan kepada mana-mana individu atau premis termasuk premis pelancongan untuk memiliki, menyimpan, menjual atau menyediakan spesies ini sebagai makanan.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak kurang RM50,000 hingga RM250,000 serta penjara antara satu hingga lima tahun,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana premis pelancongan yang terlibat dalam jenayah hidupan liar kerana perbuatan itu bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh mencemarkan imej Sabah sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi.

Menurutnya, operasi dan pemantauan akan terus dipergiat bagi membanteras kegiatan penyediaan makanan eksotik berasaskan hidupan liar dilindungi di negeri ini.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama