KUALA LUMPUR: Sabah merekodkan jumlah kes Tuberkulosis (Tibi) tertinggi di negara ini apabila mencatatkan 614 kes setakat Minggu Epidemiologi kelima tahun ini.
Data dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan sebanyak 503 kes baharu Tibi direkodkan pada minggu berkenaan, menjadikan jumlah keseluruhan kes di seluruh negara kini mencecah 2,571 kes.
Selain Sabah, Selangor mencatatkan 476 kes diikuti Sarawak (257), Johor (233), Kuala Lumpur dan Putrajaya (202), Pulau Pinang (148), Kedah (144) serta Perak (127).
Negeri lain yang merekodkan kurang daripada 100 kes ialah Kelantan dengan 96 kes, Pahang (81), Terengganu (60), Negeri Sembilan (58), Melaka (42), Perlis (17) dan Labuan (16).
KKM dalam kenyataan memaklumkan orang ramai perlu terus berwaspada terutama menjelang musim perayaan dan cuti panjang dengan mengamalkan etika batuk serta bersin yang betul selain memakai pelitup muka di kawasan sesak.
“Individu yang mengalami gejala seperti batuk berpanjangan, demam, hilang selera makan atau penurunan berat badan digesa menjalani saringan di fasiliti kesihatan terdekat dengan segera,” menurut kenyataan itu.
Menurut kementerian itu, langkah pencegahan berkenaan adalah tanggungjawab sosial setiap individu bagi melindungi komuniti daripada penularan penyakit berjangkit, berteraskan prinsip penilaian risiko kendiri.
