MAFFI Tawar Diskaun Khas Pembelian Input Pertanian, Ternakan Kebun Dapur

KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) akan menawarkan diskaun khas pembelian input pertanian dan ternakan sebagai galakan kepada rakyat menyertai inisiatif 'Kebun Dapur'.

Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata pemberian diskaun itu bertujuan mengurangkan kos permulaan bagi rakyat yang berminat mengusahakan tanaman atau ternakan di kawasan kediaman masing-masing.

“Memandangkan program ini bukan berasaskan subsidi penuh, kita akan berikan diskaun khas untuk memastikan rakyat mempunyai akses yang lebih mudah dan murah kepada bahan mentah pertanian bagi memulakan kebun atau ternakan mereka sendiri.

“Tawaran melalui inisiatif ini merangkumi potongan harga bagi pembelian bibit tanaman, anak ayam, itik, puyuh serta anak ikan,” katanya ketika ditemui di Sabah FM, pada Khamis.

Inisiatif Kebun Dapur akan dilancarkan pada 15 Februari ini di Padang Istiadat, Tuaran sebagai langkah proaktif memperkukuh keterjaminan makanan di peringkat domestik dan komuniti. 

Jamawi optimis inisiatif tersebut akan disertai sehingga 50,000 peserta dan berpotensi menjana pendapatan sampingan dengan hasil berlebihan boleh dijual di pusat pengumpulan hasil pertanian selain boleh dieksport ke negara jiran sekiranya stok pengeluaran mencukupi.

“Kita juga ada meminta pihak Jabatan Pertanian daerah mengklasifikasikan zon-zon untuk mengelakkan lambakan hasil.

"Kementerian menubuhkan Task Force yang dianggotai semua agensi di bawah MAFFI bagi menyediakan khidmat nasihat teknikal secara berterusan.

“Agensi seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, Jabatan Veterinar, KPD dan SAFMA akan kerap untuk turun padang bagi membantu peserta," ujarnya.

Bagi memastikan penduduk bandar yang mendiami perumahan bertingkat tidak tercicir daripada arus pertanian bandar, MAFFI menjalin kerjasama strategik dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan plot tanah pertanian komuniti. 


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama