KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri
Sabah melalui Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI)
akan melancarkan Inisiatif Kebun Dapur pada 15 Februari ini dengan menyasarkan
penyertaan 5,000 Ketua Isi Rumah (KIR) di seluruh negeri.
Menteri MAFFI Sabah, Datuk Jamawi
Jaafar, berkata inisiatif berkenaan akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah
pada pukul 10 pagi di Padang Istiadat, Tuaran adalah merupakan usaha oleh
kerajaan bagi menangani kos sara hidup rakyat serta memperkasa ekonomi isi
rumah menerusi pengeluaran makanan sendiri di peringkat komuniti.
"Inisiatif ini bertujuan
untuk meningkatkan kesedaran rakyat Sabah untuk memanfaatkan ruang di
sekeliling rumah bagi aktiviti bercucuk tanam dan penternakan berskala kecil.
"Di samping memelihara
ternakan seperti ayam, itik atau ikan sekiranya mempunyai ruang dengan
menyasarkan penyertaan 5,000 KIR di seluruh negeri pada tahun ini, namun
penglibatan rakyat dijangka melebihi sasaran ditetapkan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika
ditemubual dalam segmen Morning Kinabalu bersama DJ Felix dan DeeDee di Konti
Kupi Kupi FM 96.3, di sini pada Khamis.
Menurut Jamawi, Inisiatif Kebun
Dapur dilaksanakan di bawah program Revolusi Ekonomi Pertanian Luar Bandar
(Rural Agricultural Economic Revolution – RAER) dengan memanfaatkan halaman
rumah, kawasan lapang serta bekas terpakai bagi aktiviti pertanian berskala
kecil.
"Kebun Dapur merangkumi
sub-sektor tanaman, perikanan dan ternakan, selain menggalakkan penggunaan
teknologi pertanian moden bagi meningkatkan pengeluaran hasil pertanian serta
keterjaminan makanan," katanya.
Beliau menjelaskan, pelaksanaan
inisiatif itu mengambil kira pelbagai keadaan kediaman rakyat dengan penyediaan
beberapa model kebun dapur yang bersesuaian, sama ada bagi rumah yang mempunyai
ruang terhad mahupun kawasan yang lebih luas dan akan dilaksanakan secara
berterusan sepanjang tahun ini.
Jamawi berkata, kerajaan negeri
turut merancang penganjuran jelajah ke semua kawasan Parlimen di Sabah bagi
mempromosikan inisiatif berkenaan serta memudahkan rakyat mendapatkan bahan
tanaman dan ternakan melalui agensi berkaitan.
"Agensi seperti Jabatan
Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan, Ko-Nelayan, SAFMA
dan Lembaga Industri Getah bukan sahaja terlibat dalam penjualan input
pertanian, malah memberi tunjuk ajar secara langsung kepada rakyat mengenai
kaedah penanaman dan penternakan," katanya.
Tambah beliau, pendekatan
rantaian lengkap itu di yakini dapat membantu meningkatkan Tahap Sara Diri
(Self-Sufficiency Level – SSL) negeri Sabah, sekaligus memperkukuh keterjaminan
makanan dan pertumbuhan ekonomi negeri Sabah secara mampan.
Hadir sama, isteri Jamawi Datin
Zainatunnisa Ibrahim serta Ketua Penolong Setiausaha Kanan MAFFI, Shariffah
Aznoor Jap.
