Kalah teruk PRN Sabah, Ketua Penerangan Bersatu gesa Ronald letak jawatan

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menggesa Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Seri Ronald Kiandee supaya melepaskan jawatan susulan kegagalan teruk parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Menurutnya, Ronald yang juga Naib Presiden BERSATU perlu bertanggungjawab atas pencapaian buruk calon-calon BERSATU di Sabah, selain didakwa gagal menyediakan perancangan strategik dan menggerakkan jentera pilihan raya lebih awal.

“Beliau juga sehingga kini tidak mengemukakan laporan pasca pilihan raya (post-mortem) secara bertulis berhubung prestasi parti di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Tun Faisal mendakwa kenyataan Ronald yang mempertikaikan tindakan Lembaga Disiplin parti menunjukkan sikap terdesak susulan tindakan yang mula diambil terhadap individu yang didakwa melanggar peruntukan Perlembagaan serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli BERSATU.

Katanya, Ronald wajar meletakkan jawatan kerana kegagalannya mengetuai Badan Pimpinan Negeri (BPN) Sabah yang disifatkan menjadi antara punca utama keputusan mengecewakan parti dalam PRN berkenaan.

Beliau turut mendakwa Setiausaha BPN Sabah, Yunus Nurdin bersama beberapa pemimpin negeri cuba mengalihkan kesalahan kepada Presiden parti.

“Tuduhan itu tidak berasas kerana sejak awal lagi autonomi dan autoriti penuh untuk mempersiapkan jentera Sabah diberikan di bawah Pengarah Pilihan Raya Negeri Sabah, Datuk Seri Hamzah Zainudin serta Ronald sendiri selaku Pengerusi PN Sabah, tanpa campur tangan Presiden,” katanya.

Mengulas dakwaan kononnya tindakan Lembaga Disiplin bertujuan membungkam suara pimpinan tertentu, Tun Faisal menegaskan ia tidak benar.

Sebaliknya, katanya, ramai berpendapat tindakan tegas sepatutnya sudah lama diambil terhadap individu yang didakwa berulang kali melanggar perlembagaan dan menentang keputusan parti.

“Sebagai Naib Presiden, Ronald sepatutnya menghalang pemimpin negeri serta penyokong tertentu daripada terus melanggar disiplin dan keputusan parti.

“Namun, perkara itu tidak dilaksanakan. Ironinya, beliau kini tampil mempertahankan pihak yang didakwa berulang kali melanggar perlembagaan,” katanya.

Sehubungan itu, Tun Faisal menegaskan Ronald wajar melepaskan jawatan kerana didakwa gagal melaksanakan amanah dengan berkesan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama