![]() |
| Suspek lelaki warga asing berumur 20 tahun ditahan bersama dadah jenis syabu seberat 55.50 gram di kawasan Stesen Bas Semporna. |
SEMPORNA : Seorang lelaki warga asing berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup selepas ditahan bersama 55.50 gram dadah dipercayai jenis syabu dalam satu operasi di kawasan Stesen Bas Semporna, semalam.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Tan Hiap Wah berkata, suspek ditahan kira-kira jam 9.30 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Daerah Semporna yang menjalankan operasi tapis susulan maklumat risikan.
Beliau berkata, suspek berusia 20 tahun itu dilihat dalam keadaan mencurigakan membawa sebuah guni berwarna merah jambu bercorak bintang telah ditahan untuk pemeriksaan sebelum polis menemui dua kotak berwarna coklat mengandungi 23 bungkusan plastik serta satu bungkusan plastik berwarna hijau.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas bungkusan plastik itu menemui satu paket plastik lutsinar bersaiz besar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 55.50 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Suspek bersama barang rampasan dibawa ke Pejabat BSJN Daerah Semporna untuk tindakan lanjut dan kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan, jika dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup, hendaklah dikenakan tidak kurang 15 sebatan.
Dalam pada itu, Tan menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan operasi membanteras kegiatan pengedaran dadah selain tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam jenayah berkenaan.
"Orang ramai digesa menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah tanpa melindungi mana-mana pihak, dan tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang cuba menjadikan daerah ini sebagai lokasi transit atau pengedaran dadah," katanya.
