Dadah bernilai RM47,000 dirampas, lelaki cuba lari dicekup di kondominium Penampang

PENAMPANG: Cubaan seorang lelaki melarikan diri gagal apabila dia diberkas polis bersama pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM47,400 dalam serbuan di sebuah kondominium di sini, Rabu lepas

Dalam serbuan itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menahan suspek berusia 26 tahun tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, pemeriksaan lanjut menemui 10 paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis ketamin seberat anggaran 512.30 gram.

“Turut dirampas 28 paket plastik mengandungi serbuk disyaki dadah jenis ekstasi dengan anggaran berat kasar keseluruhan 944.43 gram.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah dianggarkan seberat 1,456.73 gram dengan nilai pasaran kira-kira RM47,400,” katanya dalam kenyataan media, semalam. 

Menurutnya, polis turut menyita wang tunai RM700, sebuah telefon bimbit dan beberapa kad akses premis dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan suspek.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan ketamin.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup (tidak kurang 30 tahun) dan minimum 12 sebatan jika sabit kesalahan.

" Kes turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan," katanya. 

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah. 

"Orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan jenayah atau penyalahgunaan dadah kepada polis bagi membanteras kegiatan itu," katanya


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama