Lebih 1,000 pelancong dan warga tempatan disambut mesra sempena Tahun Baharu Cina

 

Jafry mengambil gambar kenangan sebelum melakukan upacara ‘Yee Sang’ bersama dif-dif kehormat, di sini, pada Selasa. 


KOTA KINABALU: Lebih 1,000 pelancong antarabangsa dan warga tempatan diraikan dengan penuh kemesraan meriah sempena acara sambutan Tahun Baharu Cina yang diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), hari ini.


Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Jafry Ariffin berkata, program berkenaan melibatkan pelancong dari Singapura dan Korea Selatan, selain penumpang penerbangan domestik.


“Di KKIA hari ini kita jangka seramai 1,400 orang melibatkan pelancong dari Singapura dan Incheon serta penumpang penerbangan domestik. 


“Di Tawau pagi tadi turut diadakan program yang sama melibatkan kira-kira 400 tetamu termasuk dari China dan Shanghai,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri acara berkenaan, di sini. 


Menurut beliau, objektif utama program tersebut adalah untuk menzahirkan keramahan dan kemesraan rakyat Sabah dalam menyambut kehadiran pelancong.


“Kita mahu menjemput tetamu dengan penuh keramahan. Sabah memang terkenal dengan rakyatnya yang mesra dan sentiasa mengalu-alukan kedatangan pelancong,” jelasnya. 


Beliau berkata, sambutan itu juga bersempena Tahun Baharu Cina yang merupakan antara acara tahunan dalam kepelbagaian etnik di Sabah dan Malaysia.


“Perayaan ini bukan sahaja diraikan oleh masyarakat Tionghoa, tetapi turut disambut bersama oleh pelbagai kaum di negeri ini. 


“Inilah kekuatan Sabah sebagai sebuah negeri majmuk yang hidup dalam suasana harmoni,” ujar beliau. 


Jafry turut memaklumkan bahawa inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada sokongan terhadap Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) bagi memastikan Sabah terus kekal sebagai antara destinasi pelancongan utama negara.


“Saya berterima kasih kepada Tourism Malaysia dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan inisiatif ini dapat diteruskan demi memperkukuh kedudukan Sabah sebagai pusat destinasi pelancongan utama negara,” katanya.


Terdahulu, sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Sabah anjuran kerajaan negeri turut berlangsung dengan kehadiran Yang Di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin dan menerima sambutan 10,000 pengunjung hadir memeriahkan perayaan tersebut tahun ini.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama