KWKKR pantau rapi kes Tibi, jamin akses rawatan berterusan di Sabah

Julita(keempat dari kanan) menyampaikan sumbangan kit kebersihan diri dri NGO Mercy Malaysia kepada mangsa banjir di SMK Tandek.


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menerusi Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (KWKKR) Sabah kini memperkukuh pemantauan dan pengurusan situasi tuberkulosis (tibi) di negeri ini.

Menteri KWKKR, Datuk Julita Majungki berkata, pihaknya sedang bekerjasama rapat bersama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) bagi mempertingkat pemantauan serta menjamin akses berterusan kepada perkhidmatan pencegahan, pengesanan dan rawatan kepada rakyat.

“Langkah tindak balas telah dilaksanakan dan orang ramai dinasihatkan supaya bertenang serta terus berwaspada.

“Orang ramai digalakkan mengamalkan kebersihan pernafasan yang baik, memastikan pengudaraan mencukupi, dan mendapatkan pemeriksaan kesihatan sekiranya mengalami gejala seperti batuk berpanjangan melebihi dua minggu,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Ahad. 

Julita ketika melawat mangsa banjir di PPS Kota Marudu.

Dalam pada itu, Julita memaklumkan beliau telah melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di SMK Tandek dan SMK Tandek 2 di Kota Marudu pada Sabtu susulan kejadian banjir akibat hujan berterusan.

Katanya, PPS beroperasi dengan baik melalui penyelarasan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) serta kerjasama pelbagai agensi terlibat.

“Beberapa kampung termasuk Kampung Beliajung, Kampung Tandek dan Kampung Marasinsim terjejas, dengan operasi menyelamat serta pemindahan dilaksanakan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta pihak polis,” jelasnya.

Beliau berkata, keadaan cuaca kini dilaporkan stabil dengan paras air menunjukkan penurunan dan setakat ini tiada laporan kematian atau kecederaan.

“Kementerian akan terus memantau keadaan semasa dan memastikan bantuan serta sokongan kepada komuniti terjejas diteruskan,” tambah beliau.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama