KOTA KINABALU: Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menegaskan pendirian tegas dan tidak berkompromi terhadap sebarang tuntutan Filipina ke atas Sabah, susulan kenyataan terbaharu Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina (DFA) berhubung isu peta pentadbiran 2012.
Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim berkata, pihaknya memandang serius kenyataan berkenaan yang menegaskan semula tuntutan terhadap negeri ini.
Menurutnya, Pemuda Gagasan Rakyat dengan tegas menolak sebarang tuntutan yang tidak mempunyai asas perundangan mahupun legitimasi sejarah.
“Sabah adalah sebahagian yang sah dan berdaulat dalam Persekutuan Malaysia. Kedudukan ini sudah dimuktamadkan melalui proses sejarah serta kerangka perundangan antarabangsa.
“Kita tidak akan sesekali berkompromi dalam soal kedaulatan negeri ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, pendirian itu selaras dengan ketegasan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, yang sebelum ini menegaskan kerajaan negeri tidak akan melayan sebarang tuntutan sedemikian.
Azrul berkata, isu berkenaan tidak seharusnya dibangkitkan semula kerana berpotensi menjejaskan hubungan baik serantau selain mencetuskan kegusaran antara negara yang terbabit.
Katanya, dalam menghadapi sebarang cabaran berkaitan kedaulatan, perpaduan rakyat Sabah adalah kekuatan utama yang perlu terus diperkukuhkan.
“Sabah adalah tanah air yang dibina atas asas keamanan, keharmonian dan kedaulatan yang tidak boleh dikompromi.
“Pemuda Gagasan Rakyat kekal komited menjadi suara yang mempertahankan kedaulatan Sabah serta menyokong segala usaha kerajaan dalam memastikan keselamatan dan kestabilan negeri sentiasa terpelihara,” katanya.
Beliau menegaskan, pendirian parti itu jelas dan konsisten bahawa Sabah kekal bersama Malaysia, dulu, kini dan selamanya.
Terdahulu, DFA menegaskan semula tuntutan negara itu ke atas Sabah susulan perbincangan mengenai peta pentadbiran 2012 yang memaparkan wilayah berkenaan.
Jurucakap hal ehwal maritim DFA, Rogelio Villanueva dilaporkan berkata, penggubalan Akta Zon Maritim Filipina 2024 (Republic Act 12064) tidak memansuhkan Seksyen 2 Republic Act 5446 yang mentakrifkan garis dasar wilayah Filipina dan tidak menjejaskan tuntutan sedia ada ke atas sebahagian Borneo Utara.
“Filipina tidak pernah menarik balik tuntutan yang sah dan sedia ada ke atas sebahagian North Borneo,” katanya seperti dipetik Philippine News Agency pada taklimat media di Pasay City, Jumaat lalu.
Beliau menjelaskan peta 2012 yang dikeluarkan oleh National Mapping and Resource Information Authority (NAMRIA) hanya memberikan gambaran geografi North Borneo berhubung kepulauan utama Filipina.
Mengenai Laut Filipina Barat, beliau berkata DFA akan bekerjasama dengan NAMRIA untuk mengeluarkan peta baharu yang menggabungkan Keputusan Timbang Tara 2016 dan Akta Zon Maritim 2024.
Katanya, penyerahan peta kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hanyalah keperluan pentadbiran dan tidak menentukan hak kedaulatan Filipina.
