KOTA KINABALU: Cadangan pemberian biasiswa kepada pelajar yang melanjutkan pengajian dalam bidang bahasa etnik di Sabah wajar diberi sokongan penuh dalam memelihara warisan budaya serta memperkukuh identiti masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Yazid Mohd Hasnan Tawik @ Charles berkata, inisiatif itu merupakan langkah strategik dan berwawasan dalam memastikan bahasa ibunda etnik di Sabah terus dipelihara, diperkasa serta diwariskan kepada generasi muda.
“Bahasa etnik bukan sekadar medium komunikasi, malah menjadi lambang jati diri, sejarah dan nilai kehidupan masyarakat setempat yang perlu dipertahankan dalam arus pembangunan serta globalisasi masa kini.
“Cadangan pemberian biasiswa kepada pelajar yang melanjutkan pengajian dalam bidang bahasa etnik adalah sangat tepat pada masanya.
“Ia mampu melahirkan lebih ramai tenaga pengajar, penyelidik dan penggiat bahasa yang berperanan memperkukuh pengajaran bahasa ibunda di sekolah serta institusi pengajian tinggi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, tanpa sokongan tersusun termasuk bantuan pendidikan, bahasa-bahasa etnik berisiko terhakis sekiranya tidak dipelihara secara sistematik dan berterusan.
“Usaha ini juga dapat membantu memperkaya bahan rujukan, dokumentasi serta penyelidikan linguistik tempatan, sekali gus memartabatkan kepelbagaian budaya di Sabah,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menyeru semua pihak termasuk agensi kerajaan, institusi pendidikan dan pertubuhan masyarakat agar berganding bahu menyokong pelaksanaan cadangan berkenaan demi memastikan kelestarian bahasa etnik terus terpelihara.
“Komitmen berterusan dalam memartabatkan bahasa etnik akan menjadi asas penting dalam memperkukuh perpaduan, identiti serta warisan budaya masyarakat berbilang kaum di Sabah,” tambahnya.
