PAPAR: Kerajaan Persekutuan
mengambil langkah proaktif menubuhkan Jawatankuasa Khas Antara Kementerian bagi
menangani isu lambakan produk import yang dilihat semakin menjejaskan
kelangsungan perniagaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri
dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Ali berkata, penubuhan jawatankuasa
itu diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 6 Februari lalu dan akan
diselaraskan oleh Kementerian Kewangan.
Menurutnya, jawatankuasa
berkenaan membabitkan beberapa kementerian utama antaranya KPDN, Kementerian
Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT),
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Kementerian
Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
“Antara isu utama yang
dibangkitkan oleh wakil PMKS tempatan ialah dakwaan penyalahgunaan pas lawatan
sosial untuk tujuan perniagaan dan pekerjaan, yang memberi kesan langsung
kepada daya saing usahawan tempatan,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari
ini.
Armizan berkata, Kabinet turut
bersetuju supaya jawatankuasa sama meneliti risiko lambakan produk asing ke
dalam negara, termasuk kemasukan barangan melalui platform dalam talian serta
import bagi kegunaan projek dan perusahaan tertentu.
Katanya, situasi itu bukan sahaja
berpotensi menjejaskan pasaran produk tempatan, malah boleh mengancam
kelangsungan perniagaan PMKS khususnya di peringkat akar umbi.
“Selain aspek ekonomi, isu
keselamatan pengguna juga menjadi perhatian, terutama membabitkan standard dan
kualiti produk asing yang masuk ke dalam negara tanpa kawalan serta pemantauan
menyeluruh.
"Penyelarasan merentas
kementerian dan agensi amat diperlukan memandangkan isu berkenaan melibatkan
pelbagai bidang kuasa termasuk dasar, undang-undang, penguatkuasaan dan
pemantauan," katanya.
Dalam pada itu, Armizan berkata
KPDN menyokong penuh penubuhan jawatankuasa khas berkenaan kerana ia selari
dengan agenda kerajaan untuk menggalakkan pembelian barangan tempatan, sekali
gus memperkukuh ekosistem ekonomi domestik serta melindungi kepentingan
pengguna.
