Kinarut Palm City pacu transformasi Papar, peluang PMKS dan belia diutamakan

 

PAPAR: Pembangunan Kinarut Palm City yang bermula dengan Kinarut Palm Square dan kini diperluaskan menerusi Kinarut Palm Avenue dilihat sebagai pemangkin utama transformasi Papar daripada kawasan luar bandar kepada bandar moden yang inklusif dan berdaya saing.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pembangunan berkenaan melengkapkan ekosistem Kinarut New Township yang dibangunkan oleh WSG Group melalui pendekatan pembangunan bercampur merangkumi perumahan, komersial dan gaya hidup.

Menurutnya, Kinarut Palm Avenue bakal menempatkan 52 unit lot kedai selain kemudahan seperti pasar raya Everrise, gimnasium 24 jam, ballroom serta pawagam 10 Star Cinema yang dijangka merancakkan aktiviti ekonomi setempat.

“Sebelum ini Papar sering dianggap kawasan luar bandar, namun limpahan pembangunan dan modernisasi perbandaran kini jelas kelihatan.

"Kita yakin dalam tempoh dua hingga tiga tahun, Papar akan semakin maju,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran rasmi 52 unit lot kedai dua tingkat, pasar raya Everrise dan Level-Up 24 Hour Gym sempena majlis pecah tanah Kinarut Palm Avenue, di Kinarut, hari ini.

Armizan bagaimanapun menegaskan pembangunan pesat perlu seiring dengan penyediaan infrastruktur mencukupi termasuk bekalan air, elektrik dan jaringan jalan raya bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin.

Katanya, kerajaan sedang mempercepatkan pelaksanaan projek naik taraf jalan raya di kawasan Kinarut, termasuk laluan dari bulatan Servidor ke SMK Kinarut, selain meluluskan pembinaan pengambilan air mentah kedua di Kampung Kabang bagi menjamin bekalan air yang lebih mampan.

Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan memastikan manfaat pembangunan dirasai secara langsung oleh rakyat tempatan, khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta golongan belia.

“Peluang perniagaan dan pekerjaan yang terhasil perlu mengutamakan anak-anak tempatan supaya mereka tidak perlu mencari rezeki jauh dari kawasan sendiri,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya elemen kemasyarakatan seperti kawasan riadah awam dan laluan pejalan kaki dimasukkan dalam pelan pembangunan bagi meningkatkan kualiti hidup komuniti setempat.

Armizan turut merakamkan penghargaan kepada WSG Group atas pelaksanaan projek yang pantas dan teratur, sambil menyifatkan syarikat itu, khususnya Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Susan, sebagai antara pemacu utama transformasi perbandaran di Papar.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama