9 kedai musnah, lelaki melecur dalam kebakaran awal pagi

KOTA BELUD: Seorang lelaki melecur pada muka dan badan selepas deretan sembilan kedai musnah dalam kebakaran di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Narinang, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat Kota Belud, Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 5.32 pagi sebelum sepasukan tujuh anggota bersama dua jentera bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira 22 kilometer dari balai.

Menurutnya, jentera pertama tiba pada jam 5.55 pagi dan mendapati kebakaran membabitkan satu blok kedai jenis separuh kekal sembilan pintu berkeluasan kira-kira 150 kaki x 40 kaki.

“Kebakaran dianggarkan memusnahkan 95 peratus struktur bangunan.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air. Sumber air diperoleh daripada tangki jentera dan pili bomba berhampiran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, pili bomba berhampiran sekolah tidak mempunyai tekanan air mencukupi menyebabkan pasukan terpaksa bergerak kira-kira tiga kilometer ke kawasan Tag Valley untuk membuat pengisian semula air jentera.

Elge berkata, enam mangsa dilaporkan berada di lokasi ketika kejadian membabitkan pasangan suami isteri berusia 32 tahun serta empat anak mereka berumur antara satu bulan hingga 11 tahun.

“Seorang lelaki berusia 32 tahun mengalami kecederaan melecur pada bahagian muka dan badan, manakala lima lagi mangsa termasuk bayi lelaki berusia sebulan selamat.

“Semua mangsa diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS dan Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum lelaki terbabit dihantar ke Hospital Kota Belud untuk rawatan lanjut,” katanya.

Katanya, operasi berjaya dikawal pada jam 7.13 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.55 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi punca bahaya di lokasi kejadian.

"Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama