KO-NELAYAN raih 90% prestasi fizikal, perbelanjaan lebih RM36 juta

    Jamawi ketika berucap pada Majlis Apresiasi Ko-Nelayan, di sini, pada Jumaat. 


KOTA KINABALU: Korporasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) terus membuktikan keupayaan pelaksanaan program dengan merekodkan 90 peratus pencapaian fizikal melalui perbelanjaan mencecah RM36.1 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, daripada jumlah keseluruhan itu, siling peruntukan sebanyak RM39,786,259 diperuntukkan bagi pelaksanaan 20 program.

“Alhamdulillah, KO-NELAYAN berjaya mencapai 90 peratus pencapaian fizikal dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM36,102,198. 

“Tahniah diucapkan kepada KO-NELAYAN dan seluruh warga kerjanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Apresiasi KO-NELAYAN yang bertempat di Hotel Marriot, di sini, hari ini. 

Hadir sama Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Indistri Makanan, Datuk Ruslan Muharam dan Pengurus Besar Ko-Nelayan, Yusof Ag Besar

Beliau menyifatkan pencapaian itu sebagai satu bukti keupayaan KO-NELAYAN dalam mengurus peruntukan secara berkesan demi manfaat komuniti nelayan di negeri ini.

Bagi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), KO-NELAYAN menerima siling peruntukan berjumlah RM108,488,260 dengan melibatkan 28 program.

“Program atau projek yang dilaksanakan perlu sentiasa dipantau, dinilai dan dibuat susulan agar ia benar-benar mencapai matlamat yang diharapkan oleh kerajaan,” tambahnya.

Beliau turut menyeru warga KO-NELAYAN agar mengamalkan budaya penambahbaikan berterusan dan pembelajaran sepanjang hayat bagi memastikan perkhidmatan yang lebih cemerlang kepada masyarakat nelayan Sabah.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama