KOTA KINABALU: Wang kira-kira RM7,000 yang didakwa diberi sepanjang tempoh pertunangan dipercayai menjadi antara faktor yang mencetuskan pembunuhan kejam seorang wanita di Indah Permai, di sini, Khamis lalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, suspek lelaki tempatan berusia 70 tahun ditahan dalam tempoh kurang 24 jam selepas penemuan beberapa bahagian anggota badan mangsa di lokasi berasingan sekitar Taman Indah Permai.
Menurutnya, mangsa berusia 44 tahun dan merupakan pemegang dokumen IMM13 itu sebelum ini mempunyai hubungan pertunangan dengan suspek.
“Siasatan awal mendapati sepanjang tempoh bertunang, suspek dipercayai ada memberikan wang berjumlah kira-kira RM7,000 kepada mangsa untuk pelbagai keperluan.
“Bagaimanapun, hubungan mereka tidak berakhir dengan perkahwinan. Mangsa kemudiannya berkahwin dengan lelaki lain dan perkara itu menimbulkan rasa cemburu serta tidak puas hati dalam diri suspek,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Beliau berkata, walaupun pertunangan telah putus, kedua-duanya masih berhubung sebelum mangsa datang ke rumah kampung keluarga suspek.
“Mangsa dipercayai datang secara sukarela. Berlaku pertengkaran antara mereka yang dipercayai berpunca daripada isu hubungan dan wang yang pernah diberikan sepanjang tempoh pertunangan itu.
“Siasatan mendapati suspek menggunakan parang serta senjata tajam lain. Suspek juga mengaku memotong anggota badan mangsa seorang diri,” katanya.
Katanya, polis turut menahan seorang lagi individu iaitu anak suspek yang berada di lokasi kejadian bagi membantu siasatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan siasatan masih diteruskan termasuk meneliti secara terperinci motif sebenar kejadian," katanya dalam sidang media pada jumaat
