KOTA KINABALU: Seramai 86 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam beberapa operasi penguatkuasaan bersepadu yang dijalankan di Kota Kinabalu, Lahad Datu dan Tawau, dari 4 hingga 6 Februari lalu.
Dalam kenyataan hari ini, JIM Sabah memaklumkan operasi berkenaan dijalankan oleh Unit Operasi Bahagian Penguatkuasa melibatkan pemeriksaan di lokasi yang dikenal pasti sebagai tumpuan warga asing.
Menurutnya, di Kota Kinabalu seramai 56 PATI ditahan, manakala 27 lagi ditahan dalam operasi berasingan di Lahad Datu.
“Sepanjang tempoh operasi, seramai 333 individu diperiksa membabitkan warganegara Malaysia, Filipina dan Indonesia,” katanya.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati 83 PATI warganegara Filipina ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, iaitu masuk dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.
"Mereka yang ditahan terdiri daripada 21 lelaki dewasa, 41 perempuan dewasa, 12 kanak-kanak lelaki dan sembilan kanak-kanak perempuan," katanya.
Sementara itu, Unit Penguatkuasa JIM Tawau turut melaksanakan Ops Serkap (ATIPSOM) pada 6 Februari lalu dengan pemeriksaan ke atas lima individu warganegara Indonesia.
“Hasil operasi itu, tiga PATI terdiri daripada dua lelaki dewasa dan seorang perempuan dewasa ditahan untuk siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu.
JIM Sabah menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara berterusan dan berfokus bagi membanteras kehadiran PATI, sekali gus memastikan keselamatan serta kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

