KOTA KINABALU: Institut Pembangunan dan Pembinaan Malaysia (CIDB) bakal menganjurkan International Construction Week (ICW) Borneo pada 12 hingga 13 Mei ini di Kota Kinabalu, Sabah, sebagai pra-siri kepada ICW Kuala Lumpur.
Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat, Noryani Ismail berkata Program tersebut dijangka menjadi platform utama bagi pemain industri dan pelanggan tempatan untuk memahami teknologi terkini.
“Termasuklah Building Information Modelling (BIM), pengurusan projek, kualiti infrastruktur, dan inovasi bahan bangunan.
“Lebih daripada 40 pelanggan dan pemain industri tempatan hadir pada untuk sesi perbincangan awal, memberikan maklum balas positif mengenai kandungan program.
“Beberapa peserta ingin mendapatkan penerangan lebih mendalam mengenai teknologi BIM, pengurusan projek, dan bahan bangunan, selain membincangkan isu unik yang dihadapi industri di Sabah.
“Maklum balas ini sangat bernilai untuk memastikan ICW Borneo menjadi platform yang berkesan untuk pembelajaran, jaringan, dan promosi produk serta kepakaran mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perjumpaan Media dan Iftar Ramadhan ICW Borneo 2026 yang bertempat di The Palace Hotel, di sini.
Beliau menambah, CIDB amat teruja untuk bekerjasama dengan pemain industri tempatan dan pelanggan bagi memastikan ICW Borneo memenuhi keperluan dan harapan mereka.
