Dua lagi anak suspek utama ditahan kes wanita dikerat tujuh


KOTA KINABALU: Dua lagi anak kepada suspek utama kes pembunuhan wanita yang mayatnya dikerat tujuh bahagian di kawasan pembuangan sampah Pekan Indah Permai, Menggatal, ditahan polis hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, kedua-dua wanita tempatan berusia 29 dan 21 tahun itu ditahan masing-masing di Sepanggar dan Inanam bagi membantu siasatan lanjut.

Menurutnya, tangkapan terbaharu itu menjadikan keseluruhan empat individu ditahan setakat ini berhubung kes berkenaan.

“Pada 12 Februari lalu, seorang lelaki tempatan berusia 71 tahun yang dipercayai suspek utama ditahan di Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu.

“Pada malam sama, seorang lagi lelaki tempatan berusia 19 tahun turut ditahan di kawasan Sepanggar.

“Susulan siasatan lanjut, dua lagi tangkapan dibuat hari ini membabitkan dua wanita yang juga anak kepada suspek utama bagi membantu siasatan berhubung peranan serta pengetahuan mereka berkaitan kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Syed Lot berkata, dalam operasi dijalankan, polis turut merampas beberapa barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes termasuk telefon bimbit, pakaian, sepasang sarung tangan, sebilah parang berukuran kira-kira 27 inci serta sebuah kenderaan jenis Nissan X-Trail.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau berkata, siasatan dijalankan secara menyeluruh, telus dan profesional bagi memastikan semua pihak yang terbabit dibawa ke muka pengadilan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama