KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah menerusi Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KepKAS) sedang menilai secara menyeluruh laporan mengenai 81 premis penginapan di Semporna sebahagian besarnya dikendalikan oleh syarikat luar.
Menterinya, Datuk Jafry Ariffin berkata, perkara itu diambil maklum dan dinilai berdasarkan fakta serta mengambil kira kepentingan jangka panjang negeri, khususnya dari segi penyertaan tempatan dan limpahan ekonomi kepada komuniti setempat.
“Sabah mengalu-alukan pelaburan asing kerana ia penting bagi pertumbuhan pelancongan melalui rangkaian global dan akses pasaran, namun pelaburan tersebut mesti memberikan manfaat jelas kepada Sabah.
“Pelaburan perlu memperkukuh penyertaan tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah dan memastikan limpahan ekonomi yang bermakna kepada komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan pada Ahad bagi menjawab kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berhubung isu berkenaan.
Menurutnya, kerajaan negeri telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas Pemantauan Industri Pelancongan Semporna yang melibatkan agensi kerajaan negeri berkaitan, pihak berkuasa tempatan, pemain industri serta wakil komuniti.
“Pasukan petugas ini adalah untuk menyelesaikan isu pelancongan di Semporna secara menyeluruh, bukan secara reaktif, melalui pendekatan sistemik yang menyelaraskan peranan, bidang kuasa dan penguatkuasaan antara agensi berkaitan.
“Isu berkaitan aktiviti perniagaan dan operasi haram sebahagian besarnya berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kerajaan Tempatan.
“Melalui pasukan petugas ini, kerajaan negeri akan bekerjasama rapat dengan kementerian dan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan tadbir urus yang baik, penguatkuasaan berkesan dan pembangunan pelancongan yang teratur di Semporna,” jelasnya.
Beliau menambah, kerajaan negeri akan bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan, termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), bagi memastikan tadbir urus yang jelas, penguatkuasaan terselaras serta pembangunan pelancongan yang mampan untuk Semporna.
.png)