KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor merakamkan ucapan takziah dan rasa dukacita atas pemergian Tan Sri Simon Sipaun, mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah yang disifatkan sebagai tokoh penjawat awam berwibawa dan berprinsip.
Hajiji berkata, mendiang yang berkhidmat sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah dari 1988 hingga 1993 turut menyumbang besar di peringkat nasional apabila dilantik sebagai Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dari 2003 hingga 2010.
Katanya, keberanian mendiang dalam memperjuangkan isu demokrasi, tadbir urus serta kebebasan sivil, selain komitmen berterusan mempertahankan hak-hak Sabah termasuk pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), menjadikan beliau tokoh yang dihormati bukan sahaja di Sabah malah di seluruh negara.
“Mendiang juga antara anak Sabah terawal yang menerima biasiswa Colombo Plan dan merupakan alumni Victoria University of Wellington.
"Sumbangan serta kepimpinan beliau meninggalkan legasi besar dalam perkhidmatan awam dan pembangunan negeri,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, seluruh Kerajaan Negeri Sabah turut bersimpati atas pemergian mendiang dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas segala jasa, bakti dan sumbangan beliau kepada negeri ini.
Beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang dan berharap mereka diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi saat yang sukar itu.
