![]() |
| Julita (tengah) menerima cenderamata dari Haslina (kiri) pada program berkenaan. |
MATUNGGONG: Pemerkasaan wanita luar bandar perlu diberi keutamaan dalam agenda pembangunan negeri bagi merangkumi kepimpinan, keyakinan diri dan penglibatan dalam proses membuat keputusan, kata Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (KWKKR) Sabah, Datuk Julita Majungki.
Menurutnya, kesaksamaan gender bukan lagi satu pilihan, sebaliknya keperluan bagi memastikan pembangunan yang adil, inklusif dan lestari di semua peringkat.
“Kesaksamaan gender bukan bermaksud semua perkara disamaratakan, tetapi memastikan setiap individu, lelaki atau wanita, diberikan ruang dan peluang yang sama untuk menyumbang mengikut keupayaan dan potensi masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Program Kepekaan Gender: GENDERasi Harmoni “Bergerak Bersama Untuk Kesaksamaan” di sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), Haslina Ismail.
Program anjuran JHEWA itu menghimpunkan ketua kampung, pemimpin komuniti dan pegawai kerajaan tempatan bagi memperdalam pemahaman tentang bagaimana perspektif gender mempengaruhi keberkesanan inisiatif pembangunan, khususnya di peringkat akar umbi dan luar bandar.
Julita menegaskan, pegawai kerajaan tempatan memainkan peranan penting sebagai ejen perubahan dalam menterjemahkan prinsip kesaksamaan gender kepada tindakan nyata di lapangan.
“Urus setia daerah dan pegawai kerajaan tempatan merupakan tunjang utama dalam memastikan tadbir urus yang inklusif serta memperkukuh pembangunan komuniti,” jelasnya.
Beliau menambah, pemerkasaan wanita luar bandar akan meningkatkan kualiti hasil pembangunan melalui pembentukan dasar yang lebih menyeluruh terhadap keperluan keluarga dan masyarakat.
“Pengarusperdanaan gender merupakan pelaburan sosial jangka panjang yang akan menentukan kualiti pembangunan serta kesejahteraan generasi akan datang,” ujar beliau.
