BEAUFORT :
Kerajaan negeri menyambut baik cadangan Kerajaan Persekutuan untuk membawa
bekalan ikan dari Sabah ke Semenanjung Malaysia sebagai langkah menangani
kenaikan harga ikan di pasaran.
Pembantu
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Ruslan Muharam berkata
cadangan itu bukan sahaja mampu menstabilkan bekalan di Semenanjung, malah
memberi manfaat besar kepada nelayan di Sabah melalui peningkatan pendapatan.
"Hasil
pertemuan dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, Datuk
Seri Mohamad Sabu sebelum ini mendapati harga ikan di Sabah jauh lebih rendah
berbanding di Semenanjung Malaysia.
"Keadaan
ini membuka peluang kepada nelayan Sabah untuk memasarkan hasil tangkapan ke
pasaran yang menawarkan harga lebih baik,” katanya kepada media selepas Majlis
Anugerah Janang Gayuh di sini, pada Sabtu.
Beliau
menjelaskan langkah membawa ikan dari Sabah ke Semenanjung dilihat sebagai satu
mekanisme strategik bagi membantu nelayan berdepan peningkatan kos sara hidup.
Pada masa
sama, inisiatif itu dijangka dapat menampung keperluan bekalan ikan negara
serta mengurangkan tekanan harga kepada pengguna di Semenanjung.
Dalam pada
itu, beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap laporan kematian ikan di
Sungai Tagal Kampung Bambangan, Tambunan yang dilaporkan baru-baru ini.
"Masalah
ini bukan terjadi di daerah Tambunan saja, malah di Beaufort dan beberapa
daerah lain perkara ini turut berlaku.
"Apabila
pembukaan hutan, pembukaan ladang-ladang pertanian yang banyak menggunakan
racun rumput ini kesannya sangat membimbangkan terutama kepada alam sekitar
khususnya di sungai, anak-anak sungai yang mana ada pembiakan ikan, udang dan
sebagainya.
"Perkara
ini nanti kita akan bawa dalam perbincangan di peringkat kementerian dan
Insya-Allah menteri kita akan bawa di peringkat kabinet untuk mencari mekanisme
atau cara untuk kita mengurangkan penggunaan racun.
"Mungkin
kita akan hadkan jarak daripada sungai ataupun persekitaran yang sepatutnya
yang dibolehkan supaya ikan, udang kita di sungai tidak terancam daripada
penggunaan racun ini," ujarnya.
Ruslan
menambah, isu itu lebih merisaukan memandangkan sumber air dari sungai juga
merupakan keperluan harian yang digunakan oleh penduduk setempat.
