KOTA
KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah melaksanakan latihan
berintensiti tinggi Sabah Sea Combat 2026 yang melibatkan 42 anggota sebagai
langkah memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan di perairan Sabah.
Komander
Briged Sabah PGA, Senior Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata latihan
berfokuskan strategi peperangan di laut itu dilaksanakan selama sebulan bermula
19 Januari lalu.
''Ini bagi
memastikan anggota bersedia menghadapi ancaman keselamatan yang semakin
mencabar khususnya di perairan Sabah yang mempunyai risiko strategik serta
bentuk geografi yang kompleks.
''Latihan
ini akan dijadikan sebagai program tahunan bagi meningkatkan tahap kemahiran,
kecekapan serta strategi PGA dalam menghadapi sebarang ancaman terutamanya
insiden keselamatan di perairan," beliau berkata demikian selepas
mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman
pada Isnin.
Tambahnya,
Majlis Penutupan Sabah Sea Combat 2026 dijadualkan berlangsung pada 13 Februari
ini di Pantai Payang, Lahad Datu dan akan disempurnakan oleh Ketua Polis
Negara.
Nor Omar
menjelaskan, kunjungan tersebut bertujuan memberi taklimat berkaitan penugasan
serta operasi semasa PGA di Sabah.
Selain itu,
beliau yang baharu dilantik sebagai Komander Briged Sabah PGA sejak lebih empat
bulan lalu memaklumkan pertemuan tersebut juga untuk memperkenalkan diri secara
rasmi kepada Yang di-Pertua Negeri.
