BEAUFORT:
Presiden Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS), Datuk Ruslan Muharam, menerima
Anugerah Janang Gayuh Bisaya sebagai penghargaan terhadap kepimpinan dan
sumbangannya dalam memperkasa masyarakat Bisaya di negeri ini.
Anugerah
tersebut disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman pada
Majlis Anugerah Janang Gayuh yang berlangsung di sini, malam Sabtu.
Setiausaha
Agung PBBS, Benjamin @ Ismail Atin, berkata anugerah berkenaan melambangkan penghargaan
terhadap nilai kepimpinan, jasa bakti dan pengorbanan penerima.
"Janang
Gayuh membawa maksud kepimpinan yang mendahului dan membimbing masyarakat serta
memikul amanah dengan kebijaksanaan, keberanian dan keikhlasan.
“Penganugerahan
ini dibuat melalui penelitian teliti, pertimbangan adil serta keputusan
berlandaskan musyawarah dan ketetapan perlembagaan persatuan," katanya
ketika berucap dalam majlis berkenaan.
Benjamin
yang juga Pengerusi Pelaksana majlis berharap penganugerahan itu dapat menjadi
inspirasi kepada generasi muda Bisaya khususnya dan rakyat Sabah amnya untuk
menjunjung nilai integriti, kesederhanaan dan semangat muafakat dalam
kepimpinan.
Hadir sama,
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif;
Presiden Persatuan KadazanDusun (KDCA), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Ahli
Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching dan Pembantu Menteri kepada Ketua
Menteri Sabah, Datuk Isnin Aliasnih.
Majlis
turut disertai Penaung Persatuan Bisaya Sarawak, Datuk Palu @ Paulus Anak
Gumbang; serta Presiden Persatuan Kebudayaan Lundayeh Sabah (PKLS), Datuk
Pengiran Lalung.
