Kegiatan lima lelaki pecah rumah di Penampang tumpas, polis rampas barang curi RM10,000

PENAMPANG: Lima lelaki yang disyaki aktif melakukan kegiatan pecah rumah akhirnya terbongkar apabila mereka dicekup polis dalam satu serbuan di Putatan, semalam. 

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, kesemua suspek berusia antara 26 hingga 31 tahun itu ditahan susulan kejadian pecah rumah di sebuah kediaman tidak berpenghuni yang sedang menjalani kerja pengubahsuaian di daerah Penampang.

Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan kerugian dianggarkan kira-kira RM10,000.

“Bertindak atas maklumat awam, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Penampang menyerbu sebuah rumah di Putatan dan berjaya menahan lima lelaki terbabit.

“Polis turut merampas pelbagai barangan yang dipercayai berkaitan dengan kes serta disyaki hasil curi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes pecah rumah dan dadah.

Katanya, saringan awal air kencing turut mendapati dua daripada suspek positif dadah.

“Kesemua suspek kini ditahan di lokap IPD Penampang dan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta denda atau sebat, jika sabit kesalahan,” katanya.

Dalam pada itu, Sammy menegaskan komitmen berterusan untuk membanteras jenayah harta benda di daerah ini. 

"Orang awam supaya sentiasa memastikan keselamatan premis, khususnya rumah yang tidak berpenghuni.

"Sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah diminta disalurkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama