KOTA KINABALU: Dua individu, termasuk seorang warga emas, cedera melecur selepas tiga buah rumah musnah hampir sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Tebobon, Menggatal, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.43 pagi sebelum 20 anggota bersama tiga jentera digerakkan ke lokasi kira-kira 15 kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati kebakaran membabitkan tiga rumah dengan tahap kerosakan hampir 95 peratus.
“Dua rumah berhampiran berjaya diselamatkan daripada turut terbakar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran 300 kaki dengan empat pancutan air daripada jentera dan pili bomba berhampiran.
“Seorang lelaki berusia 60 tahun melecur pada tangan, kaki dan belakang badan manakala seorang wanita berusia 48 tahun mengalami cedera pada tangan kanan dan kaki kiri.
“Kedua-duanya mangsa dibawa ke Hospital Tuaran untuk rawatan lanjut,” katanya.
Noor Sherriyana berkata, operasi dikawal sepenuhnya pada jam 6.41 pagi dan tamat sepenuhnya pada jam 8.30 pagi selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.

