20 gerai musnah dalam kebakaran di Wakuba Tawau

TAWAU: Sebanyak 20 gerai musnah dalam kebakaran di Jalan Utara Apas Wakuba Batu 15, di sini, lewat malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu, tiada mangsa dilaporkan cedera atau kemalangan jiwa berlaku. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.37 malam sebelum 18 anggota bersama jentera bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira 26 kilometer dari balai.

“Setibanya di lokasi pada jam 11.03 malam, pasukan mendapati kebakaran membabitkan dua blok gerai jenis tidak kekal dengan setiap blok mengandungi 10 unit.

“Keseluruhan 20 gerai di kawasan berkenaan terbakar hampir 90 peratus,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, api dipercayai bermula dari lot tengah sebelum merebak ke gerai berhampiran.

“Mengikut maklumat saksi, terdapat bunyi letupan dari salah satu lot sebelum kebakaran berlaku dan api merebak dengan cepat,” katanya.

Beliau berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dengan empat pancutan air dari bahagian kiri dan kanan bangunan menggunakan sumber air daripada jentera serta lori tangki.

“Operasi berjaya dikawal pada jam 11.32 malam dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 12 tengah malam. Tiada mangsa dilaporkan. 

"Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama