Premis vape di Tawau diserbu, 525 unit dirampas

TAWAU: Premis menjual peranti tembakau di daerah ini diserbu dalam Operasi Taring Alpha 3 Tangkapan dan Rampasan yang membawa kepada rampasan 525 unit vape tidak berdaftar, baru-baru ini.

Operasi bersepadu itu dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau dan Task Force Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau hasil risikan serta pemantauan yang dilakukan sebelum ini.

Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr. Shameer Khan Sulaiman berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan hampir RM14,000.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati premis terbabit menjual produk peranti tembakau yang tidak berdaftar dengan KKM selain pembungkusan dan pelabelan tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan.

“Kita turut mengesan kesalahan mengiklankan produk peranti tembakau yang melanggar peruntukan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.

“Semua 525 unit yang dirampas bukan produk seludup, namun tidak berdaftar serta gagal mematuhi syarat ditetapkan termasuk ada yang tidak melalui proses kemasukan yang sah,” katanya ketika ditemui selepas Ops Bazar Ramadan dan Promosi Kesihatan Tibi 2026, di sini.

Beliau berkata, tindakan berkenaan hasil kerjasama strategik bersama PGA dan operasi seumpama itu akan diteruskan secara berterusan bagi membanteras lambakan produk tidak berdaftar di pasaran.

“Penjual dan pengedar perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan. Jika gagal, tindakan tegas termasuk rampasan dan pelupusan akan diambil.

“Semua peranti yang dirampas akan dilupuskan mengikut prosedur ditetapkan,” katanya.

Katanya lagi, kerjasama antara agensi keselamatan dan kesihatan penting bagi memastikan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara lebih efektif dalam melindungi kesihatan awam.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama