SEMPORNA: Sembilan rumah kediaman bersama sebuah stor dan sebuah kedai runcit musnah dalam kebakaran di Jalan Pinggir Bakau, di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 petang itu, seorang wanita berusia 53 tahun dilaporkan pengsan sebelum dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Rastam Keladi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam jam 1.51 petang.
Katanya, jentera pertama tiba di lokasi dua minit kemudian dengan jarak balai ke tempat kejadian kira-kira satu kilometer.
“Seramai 21 anggota digerakkan ke lokasi membabitkan 15 anggota dari BBP Semporna dan enam anggota dari BBP Air Semporna.
“Kebakaran melibatkan sembilan rumah kediaman, sebuah Stor FMK Smart Hardware dan sebuah kedai runcit jenis tidak kekal dengan anggaran keluasan keseluruhan 390 x 180 kaki persegi dan terbakar sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran hos sepanjang 500 kaki dengan dua pancutan air serta mendapatkan sumber air daripada pili bomba berhampiran.
Menurutnya, seorang mangsa wanita dikenali sebagai Imang Aspal, 53, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di lokasi kejadian.
“Mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS untuk rawatan lanjut.
"Kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.29 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.30 petang selepas memastikan keadaan benar-benar selamat," katanya.
Rastam berkata, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.

