KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) mengisytiharkan dua kadar zakat fitrah bagi tahun 1447 Hijrah bersamaan 2026 Masihi, masing-masing RM7.50 dan RM15, mengikut jenis beras yang dimakan oleh umat Islam di negeri ini.
Yang Dipertua MUIS memaklumkan, kadar RM7.50 ditetapkan bagi individu yang memakan beras putih import, manakala kadar RM15 pula dikenakan kepada mereka yang memakan beras wangi.
Katanya, penetapan dua kadar itu sudah mendapat kelulusan Sahibus Samahah Datuk Mufti Negeri Sabah selaku Pengerusi Jawatankuasa Zakat dan Fitrah, selaras peruntukan Enakmen Zakat dan Fitrah 1993.
“Penetapan dua kadar zakat fitrah ini mengambil kira perbezaan jenis beras yang dimakan masyarakat Islam di Sabah bagi memastikan kewajipan zakat fitrah ditunaikan dengan lebih tepat dan sempurna,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, Bahagian Zakat dan Fitrah MUIS dengan kerjasama Beras Corporation (Sabah) Sdn Bhd turut mengadakan sesi perbincangan bagi mendapatkan data dan statistik berkaitan bekalan serta harga beras di negeri ini.
"Hasil perakuan Beras Corporation (Sabah) Sdn Bhd mendapati beras utama dipasarkan di Sabah ialah beras putih import, beras wangi dan beras basmathi.
“Berdasarkan tinjauan harga di lapan daerah utama termasuk Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Lahad Datu, Kota Marudu, Beaufort, Keningau dan Ranau, harga purata beras putih import adalah sekitar RM2.82 sekilogram, manakala beras wangi sekitar RM5.43 sekilogram,” katanya.
Beliau berkata, penentuan kadar zakat fitrah dibuat berdasarkan satu gantang Baghdad bersamaan 2.70 kilogram, selaras ketetapan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-57.
Sehubungan itu, MUIS menyeru seluruh umat Islam di Sabah agar menunaikan zakat fitrah mengikut kadar yang bersesuaian dengan jenis beras yang dimakan bagi memastikan golongan asnaf dapat dibantu, khususnya menjelang Aidilfitri.
.png)