KOTA KINABALU: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan berbincang mengenai cadangan penyediaan surau sementara atau ruang solat di setiap lokasi bazar Ramadan yang jauh daripada tempat beribadah.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) merangkap exco agama Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata, perkara ini akan dibincangkan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Majlis Ugama Islam (MUIS) dan pejabat Mufti untuk memastikan kemudahan surau dapat disediakan.
“Bagi bazar yang terletak berdekatan masjid, seperti di Beaufort dan Membakut, surau tambahan tidak perlu disediakan kerana pengunjung boleh menggunakan masjid yang sedia ada.
“Insya-Allah, ini akan memudahkan pengunjung menunaikan ibadah dengan selesa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Konvensyen Al-Quran, Pelancaran Buku Dan Garis Panduan JHEAINS yang bertempat di Wisma Muis, di sini, pada Selasa.
Terdahulu, Ahli Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan mencadangkan penyediaan ruang solat berkenaan bagi memberi kemudahan kepada peniaga dan pengunjung sepanjang bulan Ramadan nanti.
Beliau turut menekankan bahawa menjelang Ramadan, para peniaga perlu menjaga kebersihan di persekitaran bazar Ramadan, khususnya kepada makanan yang dijual bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pengunjung terjaga.
“Seperti mana pimpinan lain, termasuk Yang Amat Berhormat Ketua Menteri, kita perlu jaga kebersihan makanan yang disajikan kepada orang ramai.
“Ini juga menjadi tanggungjawab Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk memantau peniaga melalui majlis daerah masing-masing,” tambahnya.
