Dia sedih kehilangan wang tunai RM300 simpanan kenangan pemberian nenek – Ibu Pelajar A


KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner, hari ini diberitahu bahawa Pelajar A berasa sedih dan terkilan apabila wang simpanan sebanyak RM300 miliknya yang dikumpul hilang semasa berada di asrama sekolah.

Menurut saksi ke-62, ibu kepada pelajar terbabit, wang tunai tersebut bukan sekadar simpanan biasa kerana ia merupakan hasil tabungan pemberian neneknya di Semenanjung.

“Dia sedih kerana wang itu dikumpul sedikit demi sedikit hasil duit yang diberikan oleh neneknya di Semenanjung sebab itu kenangan dan juga pemberian suami saya setiap awal bulan,” katanya pada prosiding inkues ke-59 di Mahkamah Kompleks Kota Kinabalu, di sini.

Menurutnya, kehilangan pertama berlaku pada 3 Julai 2025 apabila dompet anaknya yang mengandungi kad pengenalan, kad telefon, permit masuk Sabah dan kad bank Maybank hilang dari dorm pada waktu malam.

“Anak saya meletakkan dompet di dalam beg sekolah yang digantung di luar lokernya. Hanya keychain ditemui di dalam tandas.

“Saya segera memaklumkan dan meminta seorang warden melakukan pemeriksaan, namun tiada respon,” jelasnya.

Pada 4 Julai 2025, beliau mengetahui bahawa wang tunai RM300 turut hilang daripada dompet tersebut walaupun dompet itu kemudian ditemui di atas tingkap kecil dalam tandas.

“Saya maklumkan kepada warden berkenaan bahawa saya akan membuat laporan jika tiada tindakan, tetapi mesej saya tidak dibalas dan aduan tidak dibaca,” ujarnya.

Saksi turut memberitahu bahawa pada 15 Julai 2025, kecurian kedua berlaku apabila dompet anaknya hilang sekali lagi. 

“Saya memohon pihak warden supaya membuat pemeriksaan (spot check) sekarang juga. Ada pelajar yang hilang dompet juga.

“Saya juga bertegas kepada warden berkenaan yang saya akan hadir ke sekolah untuk berjumpa dengan pengetua bagi melaporkan kecurian ini.

“Saya juga menyatakan hasrat untuk melapor kepada PIBG dan membawa pihak polis ke sekolah,” katanya.

Beliau menambah bahawa pada masa itu anaknya berada pada tahap emosi paling rendah, berasa sedih, takut dan bimbang.

“Saya sudah memaklumkan bahawa anak saya tiada sesiapa di sana dan benar-benar mengharapkan belas ihsan warden untuk menjaga kebajikannya, tetapi anak saya sebaliknya dituduh cuai tanpa sebarang siasatan,” tambahnya.

Beliau menegaskan tindakan pihak sekolah yang tidak mengambil serius aduan tersebut menyebabkan pencuri menjadi semakin berani dan berleluasa.

Sebelum kehilangan wang tersebut, anaknya turut mengadu bahawa kad telefon miliknya digunakan oleh senior-senior untuk membuat panggilan tanpa kebenaran.

“Sebenarnya kami perasan perkara ini sudah berlaku dua kali apabila bapanya menyemak baki kredit telefon dan mendapati ia berkurang walaupun baru ditambah nilai,” tambahnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa telah menghubungi seorang warden supaya mengambil perhatian serius terhadap aduannya, namun menurut Pelajar A, tiada tindakan diambil.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama