40 rumah setinggan musnah dalam kebakaran di Tawau

TAWAU: Sekurang-kurangnya 40 buah rumah setinggan musnah dalam kebakaran di Kampung Titingan, di sini, pagi tadi.

Bagaimanapun, kebakaran yang berlaku kira-kira jam 10 pagi itu tidak melibatkan kecederaan ataupun kemalangan jiwa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.15 pagi sebelum jentera dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari balai.

Katanya, seramai 25 anggota BBP Tawau bersama tujuh anggota Bomba Komuniti Titingan, termasuk Unit Dron, terbabit dalam operasi pemadaman.

“Jentera bomba tiba di lokasi pada jam 10.23 pagi dan mendapati kebakaran melibatkan rumah setinggan dengan keluasan keseluruhan kira-kira 131 x 147 meter.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan tiga aliran dengan sumber air daripada jentera bomba, lori tangki air, pili bomba serta sumber air terbuka termasuk air longkang,” katanya dalam kejadian, hari ini.

Menurutnya, operasi menghadapi kesukaran berikutan tekanan air yang rendah serta keadaan angin yang tidak menentu, namun kebakaran berjaya dikawal daripada terus merebak. 

“Operasi pemadaman berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 11.55 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.19 petang, selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan jumlah kerugian,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama