DBKK tonggak pelaksanaan SMJ, Kota Kinabalu jadi penentu masa depan Sabah – Joniston

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) terus memainkan peranan penting sebagai tonggak utama pelaksanaan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), khususnya dalam memastikan pembangunan bandar raya yang terancang, inklusif dan berimpak tinggi kepada rakyat, justeru membentuk imej Sabah di peringkat nasional dan antarabangsa.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai, berkata kedudukan strategik Kota Kinabalu sebagai nadi pentadbiran dan ekonomi negeri menjadikan bandaraya itu penentu utama kepada hala tuju pembangunan Sabah secara keseluruhan.

“DBKK memainkan peranan yang amat signifikan sebagai pihak berkuasa tempatan utama yang berada di barisan hadapan pelaksanaan dasar kerajaan negeri. Keupayaan DBKK untuk menterjemahkan dasar kepada tindakan di peringkat bandar raya menjadikan institusi ini rakan strategik penting dalam merealisasikan aspirasi SMJ, khususnya dalam memastikan pembangunan bandar yang terancang, inklusif dan mampan,” 

Katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Tahun Ke-26 Bandaraya Kota Kinabalu di perkarangan Bangunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK),hari ini.

Beliau juga merangkap Menteri yang bertanggungjawab kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), menjelaskan pendekatan pembangunan di bawah SMJ yang menekankan pertumbuhan ekonomi, pembangunan modal insan serta kelestarian infrastruktur selari dengan visi DBKK dalam membangunkan bandar raya yang berdaya saing dan mesra rakyat.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Mayor Kota Kinabalu, Datuk Sabin Samitah serta seluruh warga kerja DBKK atas komitmen berterusan mentadbir bandar raya dengan pendekatan yang semakin progresif dan profesional.

Katanya, inisiatif seperti pengukuhan Bandaraya Pintar, peningkatan kecekapan penyampaian perkhidmatan, pemeliharaan alam sekitar serta pemerkasaan ruang awam membuktikan bahawa pembangunan bandar tidak hanya tertumpu kepada aspek fizikal, sebaliknya merangkumi kesejahteraan sosial dan keharmonian komuniti.

“Kerajaan Negeri akan terus memberikan sokongan penuh kepada DBKK melalui penyelarasan dasar, kerjasama antara agensi serta penglibatan sektor swasta dan komuniti bagi memastikan setiap perancangan memberi impak nyata kepada rakyat,” ujarnya.

Beliau yakin dengan kesepaduan hala tuju antara DBKK dan SMJ, Kota Kinabalu akan terus berkembang sebagai bandar raya yang berdaya tahan, progresif serta mampu menjadi model pengurusan bandar yang unggul di Sabah. 


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama