Bandar hebat bukan pada bangunan, tapi kehidupan rakyat – Mayor

KOTA KINABALU: Bandaraya Kota Kinabalu tidak seharusnya dinilai melalui deretan bangunan tinggi atau projek berskala besar semata-mata, sebaliknya melalui kualiti kehidupan rakyat yang mendiami bandar ini, termasuk aspek kebersihan, keselamatan dan kecekapan perkhidmatan harian.


Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Dr Sabin Samitah berkata, sambutan Ulang Tahun Ke-26 Bandaraya Kota Kinabalu menjadi ruang muhasabah bersama terhadap amanah pentadbiran bandar, selain menilai sejauh mana pembangunan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.


Menurut beliau, hari bandaraya bukan hanya simbol tempoh masa Kota Kinabalu diangkat sebagai bandar raya, tetapi medan refleksi untuk melihat pencapaian, cabaran dan hala tuju bandar sebagai ibu negeri Sabah yang menjadi wajah kepada negeri ini di peringkat nasional dan antarabangsa.


“Kemajuan bandar tidak boleh diukur semata-mata melalui bangunan yang tinggi atau projek yang besar, tetapi melalui kehidupan seharian rakyat, kebersihan bandar, rasa selamat, kemudahan awam yang berfungsi dengan baik, serta perkhidmatan yang sampai kepada rakyat secara adil dan cekap,” 


Katanya ketika berucap pada Sambutan Ulang Tahun Ke-26 Bandaraya Kota Kinabalu di perkarangan Bangunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK),hari ini.


Beliau turut menegaskan bahawa Kota Kinabalu bukan milik DBKK semata-mata, sebaliknya rumah bersama yang memerlukan disiplin, rasa tanggungjawab dan semangat kebersamaan seluruh warga bandar.


Dalam mengakui cabaran yang dihadapi DBKK, Sabin berkata sumber kewangan yang terhad, pertambahan penduduk, peningkatan pelancong serta tekanan terhadap infrastruktur dan kebersihan bandar menuntut perubahan cara kerja yang lebih moden dan berkesan.


Sehubungan itu, DBKK giat memodenkan penyampaian perkhidmatan melalui pendigitalan termasuk peluasan penggunaan sistem dalam talian, Sabah Smart Parking serta pembangunan Enterprise Architecture DBKK bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi memastikan keputusan pentadbiran dibuat berasaskan data yang tepat.


“Langkah ini selari dengan hala tuju Bandaraya Pintar (Smart City) dan usaha menjadikan Kota Kinabalu sebuah bandar yang cekap, telus dan berdaya tahan, sekali gus mendapat pengiktirafan sebagai ‘Early Adaptor’ dalam Penarafan Bandar Pintar Malaysia,” jelasnya.


Dalam aspek ekonomi, beliau mengatakan kebergantungan semata-mata kepada sektor pelancongan tidak mencukupi untuk menjamin daya tahan bandar dalam jangka panjang.


“Antara pendekatan strategik yang digariskan termasuk pelaksanaan Projek Lautan Biru melalui Projek Tuna, pengukuhan sektor perikanan dan makanan laut bernilai tinggi, pembangunan ekonomi malam serta memanfaatkan pesisiran pantai sebagai aset ekonomi, bukan sekadar tarikan visual,” tambahnya.


Beliau turut menekankan komitmen DBKK dalam memperkukuh aspek perumahan, penstrukturan semula penempatan setinggan, penyediaan ruang hijau, keselamatan bandar serta peningkatan mobiliti awam termasuk perkhidmatan bas ‘Pink Bus’ yang dijadual bermula April ini.

 


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama