61 PATI Filipina dicekup dalam operasi ESSCOM di Semporna

SEMPORNA: Seramai 61 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dicekup dalam Operasi Bersepadu yang dilaksanakan selama dua hari oleh Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) di daerah ini, pada 12 dan 13 Februari ini. 

Kesemua lelaki dan wanita dewasa itu diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Semporna untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63.

Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, operasi bersepadu itu dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta beberapa jabatan dan agensi Persekutuan, Negeri dan pihak berkuasa tempatan.

“Sepanjang operasi, seramai 1,125 individu diperiksa membabitkan 375 rumah serta premis perniagaan termasuk hotel dan resort di sekitar bandar Semporna, kawasan koloni setinggan, pinggir bandar dan kampung.

“Operasi ini bertujuan membanteras penyeludupan barang kawalan dan bersubsidi, barangan tidak bercukai, penyusupan PATI serta penyalahgunaan pas pelancong oleh warga asing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, operasi keselamatan turut digerakkan di laluan ketirisan yang dikenal pasti berhampiran sempadan daratan dan perairan daerah ini yang dipercayai digunakan penjenayah rentas sempadan.

Dalam operasi sama, Sabah Electricity turut memotong sambungan elektrik haram dengan anggaran berat material mencecah 40 kilogram mengikut Seksyen 61(3) Enakmen Bekalan Elektrik 2024.

Beliau berkata, kejayaan operasi itu adalah sebahagian usaha berterusan kerajaan menerusi Operasi SANGGAH ESSCOM bagi memperkasa operasi keselamatan di bawah PDRM, ATM dan APMM di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).

Katanya, ESSCOM akan terus memperhebat operasi bersepadu seumpama ini di seluruh ESS Zone. 

"Kita tidak akan berkompromi terhadap sebarang elemen jenayah rentas sempadan yang boleh menggugat keselamatan dan kesejahteraan awam di Sabah Timur.

“Sejajar dengan hasrat ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’, ESSCOM komited memastikan ancaman pencerobohan anasir asing dapat dikekang demi mengekalkan Sabah Timur dalam keadaan selamat dan terkawal,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada 200 pegawai dan anggota yang terbabit dalam operasi berkenaan termasuk IPD Semporna, Batalion 22 PGA Kunak, Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Pasukan Gerakan Udara (PGU), APMM, JIM serta agensi lain yang menjayakan operasi itu.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESS Zone diminta menghubungi Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau WhatsApp 011-63311072," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama