53 PATI dicekup Ops Kutip, Ops Sapu di KK, Tuaran

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menahan 53 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Ops Kutip dan Ops Sapu yang dijalankan selama dua hari bermula 2 hingga 3 Februari lalu di sekitar Kota Kinabalu dan Tuaran.

Dalam kenyataan, JIM Sabah memaklumkan operasi penguatkuasaan itu dilaksanakan oleh Unit Operasi, Bahagian Penguatkuasa dengan kekuatan 61 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Imigresen Kota Kinabalu.

Menurutnya, sepanjang operasi berkenaan, seramai 177 individu diperiksa dan hasil pemeriksaan mendapati 53 warga asing disyaki melanggar peruntukan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini tanpa dokumen sah.

“Daripada jumlah itu, tangkapan membabitkan 24 lelaki dan 29 wanita, kesemuanya warganegara Filipina. 

"Semua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen untuk siasatan lanjut sebelum tindakan susulan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada," katanya. 

JIM Sabah turut menegaskan komitmen berterusan jabatan itu dalam melaksanakan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kehadiran PATI, sekali gus memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara sentiasa terpelihara.

"Orang ramai juga diminta supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pendatang asing tanpa izin bagi membantu pihak berkuasa menjalankan tindakan penguatkuasaan dengan lebih berkesan," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama