![]() |
| Marius Masain |
KUDAT: Jalan rosak di Kampung Bingolon, Matunggong kini dalam pemantauan pihak berkuasa dan kerja-kerja pembaikan akan dilaksanakan sebaik sahaja keadaan cuaca bertambah baik.
Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (KWKKR), Marius Masain, berkata laluan berkenaan berada di bawah bidang kuasa serta tanggungjawab penyelenggaraan Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah.
“Musim hujan berterusan telah menjejaskan pelbagai kemudahan awam termasuk jalan luar bandar di kawasan tersebut.
“Kerja pembaikan memerlukan keadaan cuaca yang sesuai bagi memastikan pelaksanaan sempurna serta hasil yang berkekalan.
“Tindakan sewajarnya akan diambil sebaik sahaja keadaan cuaca mengizinkan untuk mobilisasi yang selamat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan pemilihan masa yang tepat amat penting bagi memastikan kerja pembaikan dapat dilaksanakan secara berkesan dan memberi hasil tahan lama kepada penduduk setempat.
Dalam pada itu, Marius turut menghargai inisiatif penduduk kampung yang melaksanakan kerja tampalan sementara menggunakan sumber sendiri.
“Sebarang pembaikan infrastruktur perlu mematuhi prosedur teknikal yang betul demi menjamin keselamatan dan kelestarian,” tambahnya.
Beliau turut menyatakan kekesalan sekiranya situasi tersebut digambarkan tanpa konteks penuh, sambil menegaskan bahawa keutamaan kekal untuk menyelesaikan isu berkenaan melalui agensi yang bertanggungjawab.
