Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, operasi diketuai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Kontinjen Sabah serta beberapa agensi penguat kuasa lain.
Menurutnya, kerjasama turut membabitkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dan Lembaga Pelabuhan Malaysia.
“Operasi ini mencerminkan komitmen berterusan PDRM dalam membanteras jenayah dadah yang boleh menggugat kesejahteraan masyarakat dan keselamatan negara.
“Jika dadah yang dirampas ini berjaya memasuki pasaran, ia berpotensi menjejaskan kira-kira 16 juta individu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.
Katanya, operasi bermula dengan serbuan di sebuah rumah di Taman Landmark Phase 2, Penampang pada 20 Januari lalu yang membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan serta rampasan 548 kilogram (kg) methamphetamine dan 31kg pil ekstasi.
"Serbuan kedua di Taman Perdana Fasa 1, Penampang pada hari sama menahan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing bersama rampasan 1.6kg methamphetamine.
"Seorang lagi wanita tempatan yang dipercayai bertindak sebagai pemantau sindiket turut ditahan," katanya.
Menurutnya, pada 21 Januari, serbuan ketiga dijalankan di sebuah premis logistik di Pelabuhan Klang, Selangor dan menemukan 255kg methamphetamine yang dipercayai belum sempat dihantar ke Sabah.
"Serbuan seterusnya di Pelabuhan Teluk Sepanggar dan sebuah premis logistik di Inanam membawa kepada rampasan 1,202kg methamphetamine, 357kg methamphetamine, 59kg pil ekstasi, 51kg ketamin, 4kg cecair vape disyaki kokain serta 2.6kg pil Erimin 5," katanya.
Selain itu, Khalid berkata, polis turut menahan dua lelaki di Lembah Klang yang dipercayai membekalkan palet bagi tujuan penghantaran dadah ke Sabah serta seorang lagi lelaki tempatan di Taman Pertama Mahandoi, Penampang.
"Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak beberapa tahun lalu dan menggunakan laluan laut merentasi Laut China Selatan dengan menjadikan kontena di premis logistik sebagai tempat penyimpanan sementara sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa.
"Secara keseluruhan, jumlah rampasan melibatkan 3,043.5kg methamphetamine, 102.5kg ketamin, 90kg pil ekstasi, 4kg cecair vape disyaki kokain dan 2.6kg pil Erimin 5," katanya.
Dalam pada itu, katanya, tindakan sitaan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 melibatkan harta bernilai kira-kira RM1 juta termasuk beberapa kenderaan, motosikal berkuasa tinggi, wang tunai RM504,850.00, jam tangan mewah serta barang kemas.
"Empat suspek telah dituduh di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala seorang lagi ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.
"Dua individu lain diberikan bon jaminan sebagai saksi pendakwaan," katanya.
Beliau menegaskan, PDRM akan terus mempergiatkan risikan dan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan rangkaian sindiket dadah dapat dilumpuhkan sepenuhnya demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
